APA ITU TRADISIONAL REMEDY?


  

  Malaysia memang terkenal dengan kekayaan hutan tropika yang meliputi sebahagian besar daripada muka buminya. Tumbuhan yang segar ini bukan sahaja menyaman dan mengindahkan persekitaran, tetapi juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keistimewaan ini jelas menunjukkan kebesaran Tuhan dan betapa sedikitnya ilmu yang ada pada manusia. Betapa tidaknya, jika diteliti dan dikaji, hampir setiap tumbuhan yang dijadikan oleh Tuhan, semuanya mempunyai kegunaan dan keistimewaan yang tersendiri. Sebahagian besar daripada tumbuhan dapat dijadikan ubat; apa yang perlu ialah ilmu dan kajian yang mendalam mengenai sesuatu tumbuhan itu.

    Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berlangsung sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 70-80 peratus dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas, manakala di China sistem tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40 peratus daripada masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.

      Pada umumnya yang dimaksudkan dengan ubatan tradisional adalah ramuan dari tumbuhan-tumbuhan yang berkhasiat atau dikatakan berkhasiat sebagai ubat. Khasiatnya diketahui dari penuturan orang-orang tua atau dari pengalaman. Orang-orang Melayu telah sekian lama mengamalkan cara pengubatan yang menggunakan tumbuhan, sama ada ia berasal dari hutan, sekitaran atau ditanam khas untuk tujuan ini. Berbagai-bagai jenis tumbuhan telah diketahui boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan digunakan dalam perubatan tradisional. Penggunaan tumbuhan dalam perubatan perlulah dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Sepatutnya ia hanya boleh diamalkan oleh orang-orang yang berpengetahuan mengenainya, seperti ahli perubatan tradisional atau ahli herba. Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang mencuba pengubatan tradisional ini dengan sendiri untuk menyembuhkan beberapa penyakit yang tidak berbahaya. Pengalaman mengajar mereka apakah jenis-jenis tumbuhan yang boleh dan tidak boleh di makan. Perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan itu sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati. Ia merupakan salah satu cara yang penting dalam menentukan tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

SOURCE: DUMEI.COM

Fabulouse Pets Haus @Puchong Utama

Post a Comment